Sunday, October 31, 2010

HIDUP MESTI DITERUSKAN

Betapa buruknya satu peristiwa yang menimpa kita, kita harus tabah dalam menghadapi qada dan qadarnya. Mungkin itu lah yang terbaik untuk kita pada ketika itu dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kenapa dan mengapa terjadinya peristiwa itu. Hari esok bermula satu situasi yang baru yang akan aku tempuhi. Berlainan dengan hari-hari semalam yang telah aku tinggalkan. Mungkin ia membawa kebaikannya tersendiri.

Sunday, October 24, 2010

TERSELIT KETEGASAN DALAM KELEMBUTAN

Seperti biasa, hari sabtu jam 1000pm aku akan menonton Cerekarama. Hari ini kisah SELAMAT DATANG ANAK-ANAK SUAMIKU. Kisah bermula dengan adegan Maya sedang menziarahi kubur arwah suaminya, Johan. Pulang dari kubur, dia dikunjungi oleh orang kepercayaan suaminya lakonan Fizz Fairuz. Maya bersetuju menyerahkan syarikat suaminya kepada Fizz. Dan pada masa yang sama, Maya tertanya-tanya kehadiran seorang wanita lakonan Noor Khiriah dengan dua orang kanak-kanak perempuan, Hana dan Hani. Akhirnya Maya menjemput mereka ke rumah dan akhirnya terbongkar misteri bahawa mereka sebenarnya keluarga kedua Johan. Maya dapat menerima kehadiran mereka dengan baik dan mengajak tiga beranak tinggal bersamanya. Rupa-rupanya Noor adalah kekasih Fizz. Agenda berkahwin dengan Johan adalah rancangan mereka berdua selama 12 tahun dalam usaha mengikis harta kekayaan Johan. Sedikit demi sedikit mereka mengikis duit Maya dan beranggapan Maya seorang yang cantik, lemah-lembut tetapi bodoh. Tapi Maya lakonan Rita Rudaini adalah seorang yang tegas dan bijak telah memaklumkan kepada pegawai penyiasat mengenai kegiatan Fizz dan Noor. Akhir Noor dan Fizz ditangkap ketika mereka merancang untuk melarikan diri ke Brazil. Mereka dikenakan tuduhan memilik dadah. Maya telah dimaklumkan penangkapan tersebut. Dia ke bilik Hana & Hani sambil mengucapkan SELAMAT DATANG ANAK-ANAK SUAMIKU.

Saturday, October 23, 2010

PENYAKIT SUSAH NAK BANGUN PAGI

Dua tiga hari lepas, aku sempat berbual-bual dengan rakan-rakan sekerja mengenai isu datang lambat ke tempat kerja. Kebanyakan isu kedatangan lambat adalah dilakukan oleh orang yang sama. Pelbagai alasan yang diberi dan paling teruk terus mengambil cuti sakit. Ini memang dah melampau. Tapi kalau dilihat balik kenapa selalu datang lambat..dah tentu berpunca daripada bangun lewat. Spesies yang bangun lewat ini memang susah. Bagi nasihat pun masuk kiri keluar kanan. Tapi sampai bila nak macam ni. Anda kenalah membuat pilihan untuk mengubah sikap anda. 

Maka, dengan rela hatinya, aku ingin memberi tips-tips macam mana nak bangun awal. Sila ambil pen dan kertas atau anda print aje lah...

  1. Dapatkan tidur secukupnya. Maknanya anda harus memastikan anda mendapat tidur sekurang-kurangnya 6-7 jam. Mulai saat ini, anda harus menjadualkan diri anda untuk masuk tidur. Misalnya anda hendak bangun seawal 6.00 pagi, bermakna jam 11.00 malam anda perlu berangkat ke bilik tidur anda. Kalau ada kekawan yang ajak anda ke kedai mamak ... say to them...Sorry beb...gua nak tidur.
  2. Dapatkan rentak. Bukan rentak juara tetapi rentak tidur anda. Dalam tubuh badan kita ini, ada jam yang dikenali sebagai jam biologi yang mengikut rentak seharian kita. Jika kita mempunyai jadual tidur yang tetap, jam biologi akan mengejutkan kita bangun daripada tidur tanpa jam loceng. Segar pulak tuh. Sebab itu, kalau boleh pada hari cuti, kita bangun pada waktu yang sama kita bangun ketika hari bekerja. Lagipun, sebagai umat Islam, kenalah bangun awal untuk solat Subuh kecuali ........(lu pikir sendiri).
  3. Dapatkan tidur berkualiti. Jika anda tidur lebih lapan jam pun tak guna jika tidur anda tidak berkualiti. Kenalpasti dan kurangkan gangguan yang boleh mengganggu kelenaan tidur anda. Antaranya gangguan nyamuk, gangguan TV (dinasihatkan jangan meletakkan TV anda dalam bilik tidur), jangan mengambil kafien sekurang-kurangnya enam jam sebelum waktu tidur, padamkan lampu dan gunakan dim light jika anda penakut dalam gelap macam saya :P.
  4. Sebelum tidur, ambil wuduk dan bacalah surah Al-Fatihah, Ayat 3 Qul dan Ayat Kursi.
  5.  Pilih jam loceng yang boleh mengejut anda dari tidur dan letak jauh daripada katil anda. Maknanya anda terpaksa bangun untuk menghentikan bunyi jam loceng.
  6. Mandi segera selepas bangun...nih sesuai jika anda bangun dalam keadaan lemau dan mamai...pilihlah shower cream yang mempunyai bau-bauan yang menyegarkan. Kalau ada unsur-unsur aromaterapi lagi bagus.
Aku rasa itu je la yang mampu aku kongsikan. Ini apa yang aku praktikkan. Sebab jika kita datang lambat ke tempat kerja adalah sesuatu yang tidak bagus untuk kerjaya kita. Rekod kedatangan yang tidak elok bagi sesetengah syarikat amat dititikberat. Janganlah kita dibuang kerja kerana sebab yang remeh temeh ini. Tidur berkualiti meningkatkan prestasi...

Tuesday, October 19, 2010

BONUS OH BONUS

Bajet 2011 telah pun dibentangkan pada Jumaat lalu. Antara isu yang ditunggu adalah mengenai bonus. Akhirnya bonus tiada dan cuma imbuhan RM500 untuk setiap kakitangan. Alhamdulillah... dan jangan lah kita terus marah apabila tidak dapat bonus. Semua orang nak bonus tetapi kalau perbelanjaan dah melebihi pendapatan..macam mana nak bagi bonus. Renungkan balik...banyak kemudahan menjadi penjawat awam terutama faedah kesihatan termasuk mak bapak sekali boleh menikmati perubatan di hospital kerajaan dengan percuma. Pekerja swasta pula ... memang lah gaji besar sikit tapi jangan lupa ada juga yang masih bergaji kecil. Malah ada juga yang tak dapat bonus. 

Bila tak dapat bonus..mula dok risau macam mana nak siapkan sekolah anak, macamana nak itu ini. Sebenarnya tak susah. Setiap tahun kita sendiri tahu ada bulan tertentu yang kita akan berbelanja lebih untuk menyambut hari raya...persiapan sekolah anak dan macam-macam. Apa kata kita simpan sedikit duit gaji kita setiap bulan untuk benda macam-macam ni. Mesti korang bagi alasan gaji kecil la...mana cukup nak simpan. Kaji la balik perbelanjaan seharian anda..potonglah mana-mana perbelanjaan yang tak penting ..cuba teliti baik-baik. Setiap bulan bila terima gaji...terus potong untuk simpanan. Kemudian, baru lah bakinya untuk berbelanja. Kalau ada kad kredit..jangan guna kalau tak terdesak. Nanti duit anda habis dok bayar faedah je tapi baki hutang tak luak-luak. Kalau yang selalu makan kat kedai..hmm belajar la bawa bekal. So macam mana...mungkin tahun 2011 adalah detik permulaan anda untuk mula berjimat...dan INGAT ye..kerja kena ikhlas..InsyaAllah...

Monday, October 18, 2010

BOLEH PANDANG-PANDANG

"Boleh pandang-pandang....Jangan pegang-pegang....Duduk renggang-renggang...Bertambah sayang...Biar malu-malu....Biar segan-segan....Kerna malu itu......Perisai orang beriman" Begitulah antara bait-bait lirik lagu nyanyian Sohaimi Meor Hassan dan Ana Rafali. Memang best. Mula-mula aku dengar lagu ini terus melekat. Muziknya jenis muzik lagu lama tetapi memang sesuai . Kalau diikuti lagu ini sepenuhnya..ada pengajaran dan ada nasihat yang hendak dipersembahkan. Dan, aku rasa lagu ini sesuai untuk kempen memerangi gejala sosial khalwat & zina.

Saturday, October 16, 2010

BERDOSAKAH AKU?

Saat jari jemari aku meniti keyboard ini, mata aku sedang tertumpu menonton cerekarama di TV3. Tajuknya Berdosakah Aku? Cerita ini mengisahkan sebuah keluarga yang berkomunikasi dengan menggunakan loghat utara. Kisah bermula, nenek kepada Yani meninggal dunia. Akhirnya Yani kembali menetap dengan ibubapanya setelah sekian lama dijagai oleh neneknya. Yani juga mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan yang dibesarkan oleh ibu dan ayahnya. Sebuah keluarga sederhana tetapi kasih sayang ibunya lebih kepada adik perempuannya yang bakal menduduki SPM. Namun, adiknya akhirnya didapati mengandung dan ini telah menghancurkan hati ibunya. Yani pada mula mengambil keputusan untuk menetap di rumah neneknya terpaksa kembali ke rumah ibu bapanya dengan tujuan untuk membantu keluarganya semula. Ibunya masih melayan dengan cara kasar terhadap Yani tetapi Yani tetap bersabar...bagaimana kesudahannya? Marilah kita tonton hingga ke akhirnya.

ADUH...PC AKU KENA SECURITY TOOL

Arghh tensionnya. PC aku kena Security Tool. Tak tahu macam mana boleh kena. Apa benda lak Security Tool ni? Aku pun tak tahu sangat. Tadi aku sibuk dok cari jalan macam mana nak singkirkan benda ni. Susah nak buat kerja pasal asyik keluar pop-up yang kata PC aku ada malware yang boleh memberikan negatif pada PC aku. Akhirnya aku dapat cari serba sikit maklumat pasal Security Tool. Security Tool ini yang kononnya mendakwa ia adalah program anti-spyware padahal ia adalah program ala-ala spyware / malware yang boleh menjahanamkan PC kita. Pendek kata macam virus la. Aku tengah cari penyelesaian macam mana nak buang ni... tak tahu la cara yang aku dapat ini berkesan sebab tengah scan. Harap-harap dapatlah buang Security Tool ni...

Thursday, October 14, 2010

WOW! KATANYA HARGA GETAH NAIK

RM11.90! Harga getah sekilo pada hari ini menurut Utusan. Hmm senyum lebar la pekebun getah kita. Apa-apa pun..jangan lupa kita bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan rezeki yang lebih untuk kita. Tapi, ramai juga yang tak boleh nak tenang..pasal risaukan jumlah getah yang bakal dikutip nanti. Ye lah..penat-penat bangun awal pagi pergi menoreh..alih-alih ada pengambil tak bergaji yang sibuk kutip getah beku. Haru-biru dibuatnya. Pengambil tak bergaji tu pun ingat-ingat lah...tak berkat tau rezeki haram. Haram lah sebab ambil tanpa kebenaran a.k.a mencuri. Tak baik tau..ingat-ingat la ye.

Kepada pekebun-pekebun getah lak..hmm dah dapat duit banyak..hmm jangan la lupa simpan. Harga getah ni bukan macam harga emas...yang hari-hari naik. Simpan la. Belanja ala kadar je. Tak yah lah nak tukar itu ini..apa-apa pun SENTIASA BERINGAT..

Tuesday, October 12, 2010

TRAGEDI 10.10.10

Aku dah tak tahu berapakah kemalangan maut tahap ngeri yang sampai mengorbankan ramai nyawa. Dan setiap kali kemalangan seperti ini, masing-masing berapi memperkatakan salah orang itu, salah orang ini. Bermacam-macam siasatan dilakukan dan pelbagai kempen diadakan tetapi masih kadar kemalangan di Malaysia masih tinggi. Terbaru, kemalangan ngeri di antara bas ekspress Delima, bas JKM, tiga buah kereta dan sebuah van di km 223, Lebuhraya Utara-Selatan pada Ahad (10.10.10) petang. Ketika orang lain memahatkan 10.10.10 kenangan indah...ada pula yang terpaksa memahat kenangan sedih dan tragis pada tarikh tersebut.

Salah siapa? Rata-rata pendapat bahawa pemandu bas ekspress Delima membawa bas dengan agak laju lalu terbabas dan merempuh masuk ke lorong bertentangan dan menghempap tiga buah kereta dan van. Bas JKM cuba mengelak...katanya tetapi masih terkena. Apa yang aku lihat, bahagian pemandu bas JKM agak teruk. Nasib kereta-kereta dan van yang dihempap...sudah pasti teruk. Siapa yang bersalah biarlah ditentukan oleh pakar yang menyiasat. Apa yang perlu..ialah apa yang kita perlu pelajari daripada insiden-insiden ini. Bagi sesiapa yang masih suka bawa kenderaan laju-laju...tak kiralah korang semua bawa kereta, lori , motor...sentiasa ingat....apakah kesannya akibat daripada tindakan anda. Kalau anda sorang yang mati...lantak korang. Tetapi ingatlah orang lain..orang yang korang langgar....anak-anak mereka, ibubapa mereka... INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG.

Thursday, October 7, 2010

10.10.10

TEN TEN TEN... atau 10.10.10 adalah hari yang memang aku pasti ramai orang ingin abadikan peristiwa-peristiwa hidup mereka. Terpulang kepada masing-masing punya selera untuk mencoretkan peristiwa penting dalam hidup mereka...dan nasihat aku biarlah sesuatu yang baik. Yang pasti...jemputan kenduri kahwin memang banyak pada 10.10.10. Semestinya, perkahwinan angkasawan kita turut melangsungkan hari bersejarahnya pada tarikh tersebut. SELAMAT PENGANTIN BARU kepada semua yang akan mendirikan rumah tangga pada minggu ini....

KENAPA AKU TAK NAK TUKAR KERETA

Apa benda tajuk entri aku kali ni..tapi aku rasa inilah soalan yang paling banyak aku terima berbanding soalan BILA AKU NAK KAHWIN.... Siapa yang tanya? Hmm..kawan-kawan aku, kawan-kawan lama.....termasuklah saudara-mara. Siapa yang tak nak memiliki sebuah kereta baru yang menjadi trend terkini. Aku pun mau tetapi aku kena simpan dulu niat aku sehingga waktu yang sesuai. Buat masa ini, aku masih tak nampak keperluan untuk memiliki kereta baru kerana:

Aku baru aje habis bayar kereta aku kat bank setahun yang lepas. Masa itu, aku terasa macam beban terlepas daripada bahu aku. Itu yang menyebabkan aku malas nak memiliki kereta baru..sebab banyak benda yang aku kena selesaikan dulu. Nak bayar duit rumah, duit maintenance, duit pinjaman, duit kad kredit...banyaknya tak terkira...

Situasi dan cara aku kerja sekarang memang tak sesuai aku nak beli kereta baru. Sebabnya, aku selalu gak keluar pergi site..hu hu ..ada jalan yang ok...ada jalan yang KO...yang lubang-lubang sana, lecak sana-sini. Tuh belum lalu jalan yang banyak lori besar-besar lalu...sakit hati kalau batu halus jatuh atas cermin....

Kereta aku masih elok. Sejak aku beli pada akhir tahun 2000, kereta aku tidak mempunyai masalah yang besar sehingga merabakkan poket aku. Enjin masih sihat dan memang aku hantar ke kedai servis setiap 3 bulan sekali.. Banyak betul pengalaman kereta ini dengan aku...sesat jalan, salah parking, naik Genting Highland...pi Port Dickson makan burger dengan member....

Hendak tak nak memang aku akan tukar kereta tapi TIDAK pada masa sekarang. Kereta aku masih baik dan tidak ada banyak masalah. So bukan masanya untuk aku tukar kereta sekarang ni...

Friday, October 1, 2010

RUMAH TERBUKA

Aura Syawal masih lagi terasa. Apabila hujung minggu, ramai orang buat rumah terbuka. Sesak juga jalanraya sebab masing-masing ingin memenuhi jemputan. Aku? Aku memang tak pernah nak buat rumah terbuka. Sebab leceh la..tetapi kalau nak datang dipersilakan. Tetapi..kena call dulu...sebab konon-konon nak buat surprise kat aku...kang korang lak yang kena surprise. Kenapa? Well...orang bujang...dah tentu aku keluar jalan-jalan. Jalan-jalan seorang diri... ikut hati mana nak pergi...window shopping ke...bowling ke...photography ke (nih hobi baru) atau memanjakan diri di spa...

Oppss..dah tersasar objektif aku nak bercerita tentang rumah terbuka. Ramai orang suka mengadakan rumah terbuka dengan tujuan-tujuan tertentu. Ada yang bertujuan memang ikhlas nak bagi kawan-kawan, sahabat handai dan saudara-saudara makan....dan juga untuk mengeratkan  hubungan sesama kita...alhamduilillah. Ada pula buat rumah terbuka sebab hendak menunjuk-nunjuk...tak tau la aku apa yang dia orang nak tunjuk...tunjuk rumah dia yang lawa ke, tunjuk dia ramai kekawan yang hadir kat jiran-jiran ke, ada yang nak tunjuk koleksi kereta ke.....mmm untuk yang ini bawa-bawa la bertaubat. Tak elok ... riak namanya. Dan yang paling sadis dan paling aku geram...buat rumah terbuka lepas tuh dok cerita pasal projek MLM ... sampai lewat malam...orang dah menguap-nguap...tak faham-faham.

Apa pun...ini hanya sekadar pendapat dan pengalaman aku. Bukan aku nak memperlekehkan acara rumah terbuka. Aku suka rumah terbuka nih...banyak makanan sedap-sedap tapi cuma biarlah kena caranya.... Ok....selamat menghadiri rumah terbuka semua....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...